HIKAYAT DISEBALIK KEJAYAAN YANG TERCIPTA
Saat Pertama Berdiri Dengan Usaha :
'' Setiap apa yang kita usahakan itu, seperti kita sedang mendaki gunung yang tinggi. Segala-galanya bermula dari bawah. Mereka yang menginginkan terus sampai ke puncak tanpa perlu mendaki, tidak akan pernah mampu mengerti seberapa besar makna sebuah pengorbanan dalam mencapai erti sebuah kejayaan dengan usaha sendiri. ''
Puan Rosmie sangat mengerti bahawa, untuk memulakan sesuatu perniagaan, sama sekali bukanlah perjalanan yang mudah. Beliau juga tahu bahawa, keputusannya untuk memulakan perniagaan semestinya akan berhadapan dengan risiko yang sangat besar dihadapan. Tapi, Puan Rosmie bukanlah seorang yang mudah mengalah dan cepat berputus asa. Ibu kepada 5 orang anak ini, mempunyai ciri-ciri seorang wanita yang berjiwa besar, berani, pemurah dan tidak mudah berputus asa. Baginya, sememangnya risiko dan kerugian itu, rencah dalam berniaga. Tidak ada seorang pun usahawan mahupun peniaga yang mampu memajukan perniagaannya dengan sempurna tanpa berhadapan risiko dan kejatuhan. Tanpa berpatah semula, Puan Rosmie nekad dengan impiannya untuk mendirikan perniagaannya sendiri. Puan Rosmie memulakan perniagaannya, dengan menjual keropok amplang sebagai sumber pendapatan halal. Pada awalnya, Puan Rosmie hanya menjual secara kecil-kecilan sahaja. Menjual keropok amplang dengan saiz yang kecil, dalam kuantiti yang sedikit dengan harga RM0.50 sen sebungkus sebagai permulaan perniagaannya. Ada saat dan ketikanya, Puan Rosmie berteka-teki dengan nasib sendiri.
'' Aku nekad! Aku mahu meluaskan perniagaan menjual keropok amplang ini. Setidaknya, ia membantu aku berkhidmat untuk keluarga ku. Tapi, mampukah jualan aku ini maju? Mampukah jualan aku ini pergi jauh? Sedangkan aku tidak sebegitu tahu bagaimana caranya untuk aku meluaskan lagi keropok amplang ku ini. ''
Seperti manusia lain, adakalanya Puan Rosmie juga dihantui keraguan dengan impiannya. Namun, seperti di awal cerita. Puan Rosmie sememangnya bukanlah seorang wanita yang mudah berputus asa. Perasaan itu secepatnya dia singkirkan. Puan Rosmie tetap meneruskan penjualan keropok amplangnya, ditemani anak bongsunya, Encik Rozekin yang masih berusia 3 bulan ketika itu.
Perjuangan Yang Akhirnya Menemui Jalan :
Hari dan tahun berlalu meninggalkan kisah pertama kali memulakan perniagaan dahulu. Alhamdulillah, Jualan keropok amplang Puan Rosmie semakin diminati ramai. Pelanggan tidak henti membuat tempahan. Namun begitu, yang manis-manis tetap ada pahitnya. Puan Rosmie mengalami sedikit kesukaran kerana masalah kekuarangan kakitangan. Sebelum ini, segala pemprosesan pembuatan keropok amplang sepenuhnya dibuat sendiri oleh Puan Rosmie dengan kudrat kedua tangan yang Tuhan berikan, Puan Rosmie begitu gigih berusaha. Sehinggalah permintaan semakin meningkat, Puan Rosmie sudah tidak mampu menghasilkan tempahan sebanyak itu. Dia pun membuat keputusan untuk berbincang dengan suami tercinta cara-cara untuk menyelesaikan masalah ini. Akhirnya, Puan Rosmie dan suaminya Encik Suratman, membuat keputusan untuk menghasilkan mesin yang memudahkan dan mempercepatkan lagi pemprosesan keropok amplang. Setelah memiliki mesin yang membantu dalam pemprosesan keropok amplang, Puan Rosmie pun sebulat hati mendirikan perniagaannya sendiri dengan menamakan perniagaannya sebagai Perniagaan Rosmie Bersaudara. Selama Beberapa tahun perniagaan Puan Rosmie berjalan, beliau banyak dibantu oleh anak bongsunya, Encik Rozekin yang memiliki peribadi yang cukup komited dan bersungguh-sungguh membantu ibunya dalam perniagaan keropok amplang ini. Seorang anak muda yang sering menggelar dirinya sebagai 'Anak Jalanan' ini, tidak pernah mengeluh walau sedikitpun bahkan terkadang jauh lebih besar semangatnya daripada Puan Rosmie sendiri.
'' Usia muda sama sekali bukan penghalang untuk melakukan kerja sambilan sebagai pengalaman. Kerana, pengalaman itu mahal dalam kehidupan. Hari ini, pengalaman . Mungkin esok lusa, kejayaan. ''
Santa Claus :
Walaupun perniagaan Puan Rosmie semakin berkembang, namun penghantaran keropok amplang yang sudah ditempah dan yang ingin dijual di pasar-pasar besar, masih lagi dihantar dengan menaiki kenderaan awam. Encik Rozekin lah yang diberi tanggungjawab untuk menghantar dan mencari mana-mana penjual yang ingin menempah keropok amplang nya untuk dijual di kedai. Anak remaja belasan tahun ini sering mendapat gelaran Santa Claus oleh rakan-rakannya kerana membawa bakul yang sangat besar dibelakangnya. Panggilan itu sudah begitu sebati dalam kehidupan Encik Rozekin ketika di usia remajanya. Seperti bunga dan akar, Encik Rozekin dan gelaran Santa Claus tidak pernah terpisah. Namun begitu, ia sama sekali tidak melemahkan Encik Rozekin. Malahan, ejekan itu justeru menjadi penguat semangat untuk dia terus berusaha dan tidak berputus asa. Katanya :
'' Sekalipun saya digelar Santa Claus, sekurang-kurangnya saya menjadi Santa Claus yang ada hasilnya, dan mampu berkhidmat kepada orang tua saya. "
Jatuhnya Baris-baris Impian :
Menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, memiliki segulung Diploma ataupun Ijazah, sudah semestinya menjadi impian yang berlegar disetiap jiwa anak-anak muda. Tapi, keinginan dan impian itu, bukanlah menjadi pilihan Encik Rozekin dalam meneruskan kehidupannya. Demi membantu ibunya menguruskan perniagaan keluarga, Encik Rozekin telah membuat keputusan berani untuk berhenti meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sebaik sahaja beliau menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1997.
'' Kalau impian anak muda diluar sana ingin menggenggam segulung Diploma ataupun Ijazah, saya disini lebih memilih untuk menggenggam tangan ibu saya dan bersama-sama berusaha meluaskan perniagaan keluarga. ''
Kesungguhan Encik Rozekin dapat dilihat sejak beliau berumur 7 tahun lagi. Bahkan, tidak pernah sekalipun Encik Rozekin berasa jemu membantu ibunya. Pada hujung bulan tahun 2010, Puan Rosmie dan Encik Rozekin sudah mula merasakan bahawa keuntungan perniagaan keropok amplang mereka semakin berkurang. Disebabkan pada masa itu Puan Rosmie dan Encik Rozekin tidak mempunyai banyak ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan perniagaan dan pemasaran, mereka hanya menjalankan perniagaan seperti biasa, sehingga lah perniagaan mereka menghadapi kejatuhan teruk pada tahun 2011. Keadaan Perniagaan Rosmie Bersaudara ketika itu semakin teruk apabila Encik Rozekin telah disahkan menghidap penyakit Allergik ubat disebabkan pengambilan ubat-ubatan yang berlebihan.
Berertinya Sebuah Kehidupan :
Keadaan Encik Rozekin bukan sahaja mengundang kerisauan kepada dirinya sendiri, bahkan keluarganya juga turut merasakan tempiasnya. Amat sedih dilihat apabila seorang anak muda yang dulunya begitu gigih bekerja, kini terbaring lelah di atas katil rumah sakit. Hampir seluruh kulit pada tubuhnya terbakar dan mengelupas. Alser yang memenuhi hampir seluruh gusi dan lidahnya, menyukarkan dirinya untuk minum dan menelan makanan. Lebih menyedihkan, terkadang Encik Rozekin langsung tidak mampu menelan makanan dan sering memuntahkan darah dan nanah. Sayunya hati seorang ibu melihat penderitaan anaknya, Puan Rosmie berusaha untuk menutup dukanya. Namun, Encik Rozekin dapat membaca segala yang tidak terkata pada raut wajah wanita itu. Kesedihan berpanjangan mengenai dirinya, desakan kerja yang meletakkan perniagaan keropok amplang mereka berada ditahap bahaya, satu demi satu masalah tergambar jelas diraut wajah wanita yang cukup hebat kekuatannya itu. Waktu itu, Encik Rozekin sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Mahu dia berjalan mengurus perniagaan ibunya, namun sama sekali tidak berdaya dengan kudrat yang tidak membenarkan. Perasaan kesal dalam hati semakin menghimpit. Encik Rozekin seolah-olah berputus asa dengan hidupnya. Melihat keadaan diri, hanya mengundang airmata setiap pagi dan malam.
'' Sabar. Syukur Allah bagi kita sakit. Kalau terus Allah tarik nyawa, kita tidak sempat bertaubat. Sakit itu nikmat. Sakit itu nikmat bagi orang-orang yang beriman ''
Sepanjang berada di rumah sakit, itulah baris kata yang sehingga kini Encik Rozekin tidak mampu lupakan. Seorang lelaki yang berkopiah, dengan senyum yang sentiasa bergaris dibibirnya, sering bertanya khabar Encik Rozekin walaupun saling tidak mengenal antara satu sama lain. Kata-kata lelaki itulah yang sedikit sebanyak menyumbang kekuatan kepada Encik Rozekin untuk meneruskan hidupnya. Meletakkan sepenuh keyakinan, bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya, melainkan kematian.
'' Manusia seperti kita, terkadang tidak sedar dengan urusan dunia, sehingga tanpa disedari, kita mengabaikan urusan akhirat. Sakit inilah, duduk berbulan-bulan dirumah sakit inilah, yang mengajar kita bagaimana sebuah kehidupan jika kita gagal membawanya pada jalan yang di Redha.''
Puan Rosmie masih mengalami kesulitan mengurus perniagaannya sendiri tanpa bantuan Encik Rozekin dalam hal-hal perniagaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila ada di antara pelanggan tetap mereka yang memulangkan keropok amplang dengan alasan kualiti rasanya tidak sama seperti dahulu. Sementara itu, Encik Rozekin tidak berputus asa untuk terus mencari pakar perubatan yang mampu menyembuhkan penyakitnya secepat mungkin.
Rebah Bukan Bererti Kalah :
'' Rebah bukan bererti kalah. Cuma perlu langkah yang lebih cergas untuk berdiri kembali ''
Setelah kesihatan Encik Rozekin beransur pulih, dia tidak mengambil banyak masa. Dengan segala kudrat yang ada pada dirinya, dia membuat pemerhatian satu persatu masalah yang ada pada rasa keropok amplang. Bila diperhatikan secara teliti, punca kurang berkualitinya keropok amplang adalah disebabkan kualiti ikan yang digunakan dalam pemprosesan membuat keropok amplang. Setelah membuat pemilihan terbaik terhadap jenis ikan yang beliau gunakan, akhirnya rasa dan kualiti keropok amplang dapat dihasilkan semula sesuai dengan permintaan pelanggan. Sedar tidak sedar, Perniagaan Rosmie Bersaudara telah berhutang sebanyak RM 90, 000 sepanjang menghadapi kejatuhan perniagaannya. Puan Rosmie dan Encik Rozekin tetap dengan usahanya untuk menyelesaikan hutang itu tanpa sebarang bentunk bantuan pinjaman. Berkat kejujuran Puan Rosmie dalam berurus niaga, Perniagaan Puan Rosmie mendapat sepenuh kepercayaan oleh penjual ikan untuk mengambil sahaja seberapa ikan yang mereka inginkan, dan membuat bayaran pada lain harinya. Sedikit sebanyak, ia membantu Puan Rosmie dan Encik Rozekin untuk melunaskan hutang perniagaan secara perlahan-lahan.
Kembali Kukuh Dengan Usaha Utuh :
'' Sebesar apapun masalah yang kita hadapi, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba untuk berdiri. Kerana beralasan sebelum mencuba, adalah suatu tindakan yang rugi ''
Puan Rosmie dan Encik Rozekin akhirnya berjaya melunaskan hutang perniagaan merepa pada awal tahun 2013. Keadaan perniagaan mereka juga semakin baik dan maju. Tahun ini juga, Puan Rosmie telah membuat keputusan untuk melepaskan tanggungjawab perniagaan Rosmie Bersaudara ini sepenuhnya kepada anak bongsunya, Encik Rozekin. Sebaik sahaja Encik Rozekin memegang penuh tanggungjawab untuk mengusahakan perniagaan ini, Encik Rozekin telah membuat keputusan untuk menukar nama perniagaan daripada Perniagaan Rosmie Bersaudara, kepada Rosmie Snack Industry Sdn. Bhd. Kata beliau, dia akan tetap mengekalkan nama Rosmie dalam syarikatnya sebagai penghargaan bagi memperingati jasa ibunya yang tercinta, sepanjang megusahakan perniagaan keluarga ini selama hampir 15 tahun lamanya.
Persiapkan diri! Persaingan Hebat menanti :
Adat berniaga, tidak akan selalu ada pada jalan yang lurus sahaja. Pasti ada likunya. Kerana itu persiapan diri perlu jitu.
Sepanjang beliau mengusahakan syarikat ini, beliau pernah menghadapi kejatuhan sekali lagi. Apabila Encik Rozekin membuat pemerhatian, pemasaran keropok amplang semakin kecil adalah disebabkan wujudnya pesaing. Berbekalkan ilmu yang tidak seberapa banyak berkaitan perniagaan dan pemasaran, Encik Rozekin membuat keputusan untuk mengebalkan lagi diri beliau dan menyiapkan tembok dan langkah keselamatan menghadapi pesaing hebat dengan mengikuti pelbagai kursus berkaitan pemasaran, perniagaan dan usahawan muda selama beberapa tahun bagi membantunya untuk lebih memahami dan mempelajari tindakan-tindakan yang perlu beliau lakukan.
Jangan pernah kenal putus asa sebelum mencuba untuk berjaya !
Terminal Of Amplang :
Sehingga tahun 2017, Rosmie Snack Industry Sdn. Bhd telah berjaya meluaskan pasarannya sekitar seluruh Sabah dan Sarawak, tidak kurang juga tempahan yang semakin banyak di kawasan semenanjung Malaysia. Rosmie Snack Industry juga berjaya menjadikan Industri ini sebagai Pengeluar Keropok Amplang yang pertama di Malaysia dan sering mendapat perhatian dalam mahupun luar negeri. Berkat usaha gigih beliau dan sifat tidak mudah berputus asa, Encik Rozekin sentiasa menjadi seorang pemuda yang sangat komited dengan kerjayanya. Sehingga beliau menamatkan zaman bujangnya dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata dan isteri tercinta sebagai amanah dan tanggungjawabnya, Encik Rozekin tetap masih bersemangat dan selalu komited untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga dan syarikatnya. Encik Rozekin selalu menerapkan dalam diri bahawa sebagai manusia, kita seharusnya bijak melepaskan dan menarik aura-aura positif untuk menghalang aura-aura negatif agar tidak menyekat impian kita. Akhir kata daripada Encik Rozekin Bin Suratman,
Dengan erti kata lain, kenapa kita perlu memilih untuk berhenti berjalan ketika hujan turun? Sedangkan kita boleh meredah hujan dengan berlari ataupun berjalan sesuai kemampuan kita.