top of page

DIMANA TAKDIRMU ?


”Dunia ini, pentas lakonan yang tidak ada stunt woman/man nya.

Andai kau ditakdirkan mati, tidak akan ada yang bisa kau upah untuk mengganti posisi watakmu agar kau bisa hidup,

dan biar orang lain yang mati.

Andai kau yang luka berdarah, mana ada yang bisa mengganti watakmu dan membiarkan watak orang lain tersiksa. Takdir mu adalah takdir mu.”

--

Ada masa, kita terlalu mahukan sesuatu.


Bahkan demi mendapatnya, kita sanggup buat segala macam hal. Berisiko, mahupun tidak, itu bukan lagi masalah bagi kita. Asalkan, kita dapat apa yang kita mahu. Tetapi pada akhirnya, Allah malah berikan yang sebaliknya. Kita kecewa. Kita putus harapan. Kita mula mempersoalkan ‘kenapa’, mula mencari hal yang mampu dipersalahkan. Dan yang paling kerap manusia persalahkan, adalah Takdir. Padahal, segala sisi cerita kehidupan kita yang terjadi di dunia ini adalah sisi yang paling terbaik dari sisi yang lainnya. Kerana Allah, Maha memberi hanya hal yang baik-baik untuk hamba-Nya.


Firman Allah S.W.T;

”Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui ”- Surah Al-Baqarah ayat 216

--

Kita juga sering mengaitkan Takdir dan waktu. Pernah dengar orang kata ;


Biarlah ‘takdir dan waktu’ yang menentukan segalanya

Inilah yang kita katakan bahawa sebenarnya manusia sendiri yang menyatukan Takdir dan waktu dalam pemahaman masing-masing.

Manusia sudah mula memahami bahawa takdir ini adalah sesuatu yang telah ditentukan dan sifatnya rahsia sehinggalah Takdir itu mendatangi kita. Cuma, kerana keinginan yang terlampau kepada sesuatu hal, keimanan yang kurang, sampai ada yang sanggup membunuh diri hanya kerana tidak mampu menerima takdirnya yang sama sekali tidak memenuhi keinginannya.


Cuba hayati lagu-lagu yang berunsur Ketuhanan. Segala penceritaan tentang takdir, semua berakhir dengan ‘penerimaan’.

Kerana takdir, memang begitu sifatnya. Manusia seperti kita, boleh merancang, boleh membina setinggi manapun impian! Boleh sebarkan keinginan, tapi sama sekali tidak mampu menghalangi takdir yang telah ditentukan.


“Allah adalah pencipta segala sesuatu.”

Surah Az Zumar ayat 62

Bagaimana penciptaan akar, yang bersatu dengan tanah, mampu menghasilkan pokok yang indah?


Inilah takdir kejadian daripada-Nya.


Bagaimana anak bayi yang terhasil daripada air mani?


Ini takdir kejadian oleh-Nya.


Takdir dan waktu itu, sering berhubung. Seperti perlunya jasad kepada nyawa, ia tidak terpisah. Kerana takdir kita, tidak punya waktu tertentu yang kita bisa untuk tahu terlebih dahulu. Segalanya menjadi rahsia abadi Allah.


Kita sebagai makhluk Allah yang miskin, yang sering meminta hanya pada-Nya, semoga segala garis takdir dan detik waktu yang berjalan menjadi peneman sepanjang kehidupan, mendekatkan kita lebih pada-Nya.


Segala takdir yang Allah tentukan sesaat dua ke depan,

adalah senario yang paling terbaik yang telah Tuhan kirimkan.

Jika takdir yang datang itu berbentuk ujian, sukar untuk ditelan sampai mandi dalam tangisan, menangis darah mata bengkak untuk paksa diri bertahan, pesan pada diri.


”Mungkin, kalau hal ini tidak terjadi pada aku, mungkin akan terjadi hal yang lebih dasyat dari ini. Tidakpun , pada keluarga atau sahabat aku. Kerana ini takdir-Nya, maka aku perlu yakin! Inilah yang paling selamat untuk aku ”


Kerana Allah itu, Maha Memelihara.Maha Melindungi. Sebelum takdir Allah yang berbentuk ujian datang menyapa kita, Allah terlebih dahulu sudah membungkus baik-baik hikmah di pengakhirannya.



Kerana Allah Maha Baik.


bottom of page